‘AJĀ’IBUL HIND - SUKAPURA.OR.ID
‘AJĀ’IBUL HIND

‘AJĀ’IBUL HIND

(KISAH-KISAH AJAIB DI DARATAN DAN LAUTAN HINDI)

MUQADDIMAH PENTERJEMAH :
Bismillah wal hamdulillah. Wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah.
Tidak berapa lama dahulu, telah timbul keinginan dalam hati saya untuk menulis sebuah buku dengan tajuknya lebih kurang: “Nusantara dalam teks-teks klasik Islam.” Keinginan itu hasil daripada pembacaan terhadap kitab-kitab klasik menemukan saya kepada khazanah maklumat yang dirasakan mungkin ramai yang belum mengetahuinya. Namun ternyata kerja sebegitu bukanlah suatu kerja yang mudah.

Selama ini bolehlah dikatakan maklumat berkenaan sejarah kebanyakannya melalui sumber Barat. Begitu juga, saya telah membaca pelbagai artikel atau buku yang mungkin ada menyebut nama-nama kitab Arab yang tertentu — seumpama kitab ini — , tetapi seterusnya didapati ambilannya terhenti pada nukilan-nukilan penulis atau sejarawan Barat juga, bukan daripada kitab asalnya. Justeru, saya merasa perlu untuk kita melangkah setapak lagi ke hadapan dalam hal ini dengan tidak perlu lagi meneruskan pergantungan kepada mereka jika ada jalannya untuk kita terus ke sumber asli berbahasa Arab tersebut.

mengapa kitab ini?
Kitab ini saya pilih untuk diterjemahkan pada kali ini, kerana semasa membacanya kali pertama, saya dapati banyak sekali penceritaan yang berkait dengan rantau sebelah sini. Kisah-kisah yang dipaparkan juga sangat menarik hati. Ingin juga saya sentuh di sini bahawa sekalipun ada kisah di dalamnya yang mungkin menyebabkan sebahagian orang menyangkanya dongeng, namun cara yang ditempuh oleh pengarang membuktikan ianya bukanlah dongeng. Ini kerana, sekalipun buku ini bukanlah sebuah buku hadis, namun caranya ditulis adalah dengan jalan riwayat dengan penyebutan nama perawi.

Cara begini adalah suatu yang lazim dalam bidang penulisan zaman tersebut. Adakalanya kisah yang ditulis adalah pengalaman perawi sendiri, adakalanya pengalaman pihak ketiga.

Sepengetahuan saya, sehingga ke saat ini belumlah wujud terjemahan kitab ini ke dalam bahasa Melayu sama ada di Malaysia mahupun di Indonesia, sedangkan kitab ini berisikan banyak sekali maklumat yang menyentuh berkaitan Kepulauan Melayu. Dengan itu jadilah terjemahan ini sebagai yang julung-julung kalinya ke dalam bahasa Melayu.

sumber terjemahan
1. Pada mulanya, terjemahan ini bersumberkan daripada kitab berbahasa Arab yang diterbitkan Dar Maktabah Babiliun, Beirut, yang didigitalkan kepada fail PDF oleh Markaz Al-Qaimiyyah, Asfahan.

2. Setelah siap dan disemak beberapa kali, saya terjumpa sebuah naskhah (PDF) yang terbit di Abu Dhabi bertajuk: “Ajaibul Hind li Buzurg bin Syahriyar; Bainal Haqiqah wal Usturah” (Ajaibul Hindi oleh Buzurg bin Syahriyar; Antara Realiti dan Dongeng). Naskhah ini dikaji dan dikomentari oleh Hasan Soleh Syihab. Susunan kisah-kisah dalam naskhah ini tidak mengikut susunan kitab asalnya, tetapi dibahagikan mengikut periwayat kisah-kisah tersebut bermula dengan para nakhoda, para saudagar dan diakhiri susunannya dengan kisah-kisah yang
tidak disebutkan periwayatnya oleh Buzurg. Naskhah ini tidaklah saya jadikan sebagai tonggak dalam kerja terjemahan ini, melainkan sebagai perbandingan dan rujukan kepada beberapa perkataan yang tidak saya jumpai maknanya di dalam kamus serta mu’jam.

3. Selang beberapa waktu, akhirnya saya bertemu pula dengan sebuah naskhah (dalam bentuk PDF juga) yang saya percaya sebagai naskhah terawal kitab ini yang dicetak, iaitu naskhah cetakan Leiden tahun 1886 yang diulang cetak di Tehran pada tahun 1966. Naskhah ini berisikan teks Arab serta terjemahan ke bahasa Perancis. Istimewanya naskhah ini ia juga disertakan beberapa keping lukisan yang saya percayai daripada manuskrip asalnya. Saya berharap agar pihak penerbit dapat menimbang cadangan saya untuk memasukkan lukisan-lukisan itu ke dalam naskhah terjemahan ini. Saya turut yakin bahawa naskhah Asfahan yang disebutkan di atas dicetak berdasarkan cetakan Leiden ini. Dengan demikian, pencarian saya seakan menemui titik akhirnya. Dan saya memutuskan untuk melakukan semakan terakhir dengan teliti berdasarkan naskhah Leiden ini. dan inilah hasilnya yang dipersembahkan kepada tuan puan sidang pembaca yang budiman.

Untuk mengakhiri muqaddimah yang panjang ini, saya dengan rendah hati mengakui tentunya terjemahan ini tidaklah sempurna. Dengan itu saya pohonkan keuzuran dan teguran dengan jalan ilmu daripada sesiapa juga yang menemui kesilapan pada terjemahan ini. Semoga terjemahan buku ini memberi satu sumbangan kecil dalam khazanah perbukuan dan ilmu sejarah bangsa.

Sebagai makluman, tajuk-tajuk yang bagi setiap kisah hanya terdapat di dalam naskhah Asfahan dan saya
terjemahkan dengan diberi kurungan berikut [ ].

Akhirnya saya ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penerbit serta seluruh yang terlibat sehingga terhasilnya buku ini. Jazakumullahu khairan kathira.

Arsyad Mokhtar
Pendang, Kedah, 14 Oktober 2016
————————————–
Baca juga :
al-Hind – SRI BADUGA MAHARAJA : SAHABAT NABI SAW DARI NUSANTARA Oleh Ustadz Dr. Muhammad Babul Ulum http://sukapura.or.id/2021/01/26/sri-baduga-maharaja-sahabat-nabi-saw-dari-nusantara/

Nama Negeri Hindi/Hindia/Hindu (al-Hind) menjadi Nama Agama pada Abad 19 M (Warisan Inggris) http://sukapura.or.id/2021/02/26/nama-negeri-hindi-hindia-hindu-al-hind-menjadi-nama-agama-pada-abad-19-m-warisan-inggris/

Lingga Yoni – Bubuka Gn Kabuyutan Lingga Yoni oleh Agus Wirabudiman, http://sukapura.or.id/2021/02/21/bubuka-gn-kabuyutan-lingga-yoni-2/

‘AJĀ’IBUL HIND

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

×

Selamat Datang di Sukapura Ngadaun Ngora, Kota Tasikmalaya, Jawa Barat.

Ada yang Bisa Kami Bantu?

× Bisa Kami Bantu?